Ahad, 20 Disember 2009

Renungan Dari Dr Anwar


Ibu bapa perlu campur tangan tentukan bahan bacaan anak
IBU BAPA perlu campur tangan dalam menentukan bahan bacaan terbaik untuk anak mereka bagi memastikannya memperoleh ilmu bersesuaian dengan usia.
Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Rethwan atau lebih dikenali dengan nama pena Anwar Ridhwan berkata, langkah itu juga penting bagi meningkatkan minat membaca di kalangan anak mereka.
“Pada peringkat usia kanak-kanak dan remaja, ia adalah tempoh penting dan berkesan bagi menerapkan pengetahuan dan minat dalam diri individu.
“Jadi, ibu bapa perlu menerapkan minat membaca kepada anak pada usia kanak-kanak dan remaja melalui pembelian bahan bacaan bersesuaian dengan jiwa, usia dan jantina,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Bicara Karya Sasterawan Negara: Datuk Dr. Anwar Rethwan di Kedai Buku MPH (MPH) di pusat membeli-belah Mid Valley.
Ia dianjurkan Dawama Sdn. Bhd. (Dawama), MPH serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Program berkenaan bertujuan memperkenalkan tujuh buah buku hasil karya sasterawan negara itu yang dijual pada harga antara RM15 hingga RM30 sebuah di MPH Mid Valley mulai hari ini.
Tujuh buah buku itu adalah Naratif Ogonshoto, Sangkar, Hari-hari terakhir seorang seniman, Parasit dan Sesudah perang, Sudut pandangan dalam cereka, Kumpulan drama serta Dunia adalah sebuah apartmen.
Anwar berkata, kesemua bukunya itu diterbitkan dalam bahasa Melayu bagi memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dan meningkatkan pembelian bahan bacaan dalam bahasa berkenaan.
“Negara kita kaya dengan bahan bacaan bermutu yang diterbitkan penulis berpengalaman seperti sasterawan dan ahli bahasa.
“Namun disebabkan tidak banyak pihak bersedia memasarkan, ia membataskan penjualannya serta mengecilkan pengetahuan dan minat di kalangan masyarakat,” katanya.
Katanya, usaha MPH itu perlu dipuji dan diikuti pihak berkaitan lain kerana membantu memartabatkan hasil karya penulis tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan