Jumaat, 11 Disember 2009

Esei Terkini


Tempat khas bantu kanak-kanak pintar serlah kecemerlangan

BERDASARKAN satu kajian sebuah universiti tempatan, ada kira-kira 500,000 pelajar bijak di negara ini dan tiga peratus daripada mereka atau kira-kira 15,000 orang dalam kategori anak yang pintar, cerdas dan berbakat.

Bagaimanapun, setakat ini tidak ada program khusus disediakan untuk pelajar ini, menyebabkan sebahagian besarnya terbiar begitu saja, sedangkan mereka sepatutnya diberi peluang untuk memaksimumkan perkembangan kognitif dan kendiri supaya kecemerlangan itu berterusan.

Negara pernah dikejutkan dengan kehebatan Adi Putra Abdul Ghani (gambar kiri), yang memiliki kebijaksanaan amat luar biasa dalam bidang matematik sehingga menjadi buah mulut masyarakat dan susulan itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalankan kajian dua tahun terhadap keupayaan kanak-kanak berkenaan.

Mungkin pelbagai pihak terlepas pandang golongan ini selama ini, sedangkan kemudahan disediakan seperti kelas untuk pelajar biasa dan sekolah pendidikan khas untuk pelajar kurang upaya - cacat penglihatan, bermasalah pendengaran, pelajar autistik, sindrom down dan kecacatan lain.

Oleh itu, kenyataan Datuk Seri Najib Razak, kelmarin bahawa sudah tiba masa kerajaan menyediakan ruang pembelajaran khas untuk pelajar pintar luar biasa kerana kecerdasan kognitif mereka memerlukan proses pembelajaran berbeza berbanding pelajar lain, melegakan ibu bapa anak-anak ini.

Sebenarnya, masih belum terlambat untuk menyediakan ruang pembelajaran khas untuk pelajar pintar luar biasa itu meskipun beberapa negara Barat termasuk negara jiran sudah memulakannya iaitu lebih 10 tahun lalu di Thailand, tujuh tahun lalu di Indonesia dan pelaksanaannya sudah mencecah lima tahun di Singapura.

Program khas untuk kanak-kanak pintar cerdas amat diperlukan bagi mengasah lagi keupayaan yang dimiliki mereka. Kanak-kanak pintar cerdas lazimnya bosan belajar di dalam kelas biasa. Mereka bukannya hendak berlagak pandai, tetapi untuk membantu mereka menggunakan keupayaan dimiliki secara maksimum.

Jika ini tidak dilakukan, ia hanya membuatkan mereka kehilangannya. Itulah sebabnya mereka perlu dibantu melalui program khas. Program seumpamanya di Universiti John Hopkins (UJH) sudah bermula sejak 1979 lagi apabila guru buntu untuk membantu pelajar pintar cerdas.

Hari ini setiap tahun, sekurang-kurangnya 70,000 kanak-kanak menjalani ujian pintar cerdas di Amerika Syarikat dan seluruh dunia termasuk Malaysia. Hari ini ada satu setengah juta kanak-kanak pintar cerdas di seluruh dunia.

Kita berharap saranan Najib itu mendapat kerjasama ibu bapa dan yakin ia akan menjadi kenyataan setelah bermulanya projek perintis Perkhemahan Cuti Sekolah Permata Pintar Negara yang dinaungi Datin Seri Rosmah Mansor di UKM, kelmarin.

Program itu untuk membantu pelajar pintar memperoleh pendekatan pembelajaran berbeza dan sesuai mengikut kemampuan tinggi masing-masing, sekali gus jambatan untuk negara melahirkan masyarakat berilmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan